29 August 2013

Help Palestine [hidayahnet] Fw: Redalah hujan darah Kaherah






Redalah hujan darah Kaherah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2013

·         Dr Maszlee Malik - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
·         Temubual bersama Maszlee - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
< 1 / 2 >


HUJAN darah membasahi bumi Mesir belum menampakkan tanda mahu reda. Selama manakah lagi tragedi ini mahu dibiarkan dunia. Meskipun menjerit memarahi kekejaman rejim tentera Al Sisi, namun nampaknya belum ada benar-benar bersedia untuk ke depan, menarik telinga jeneral yang diangkat oleh Dr Mohammed Mursi itu supaya segera menghentikan pertumpahan darah di Kaherah.

Nampaknya, rakyat Mesir yang tidak bersetuju dengan tindakan tentera menggulingkan pemimpin mereka angkat dalam pilihan raya pertama dilangsungkan secara bersih dan adil selepas tentera di bawah pimpinan Gamal Abdel Nasser merampas kuasa pada 1952, seakan tidak ada pembelanya.

Sinar Harian cuba mendapatkan sudut pandang pakar politik Timur Tengah, Dr Maszlee Malik.

Ternyata apa yang diketengahkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam perbualannya bersama Penerbit Eksekutif Sinar Harian, Akmal Eirfan Mohd Fauzi; Ketua Pengarang, Norden Mohamed dan Pengurus Berita, Muhamad Mat Yakim petang kelmarin, sangat mengujakan dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan. Ikuti bahagian pertama daripada dua bahagian temubual ini.


Konflik yang berlaku di Mesir, apakah saudara melihat puncanya kerana kelemahan pentadbiran Mursi sebagaimana yang diuar-uarkan atau semata-mata konspirasi yang didalangi kuasa asing?

Ada dua isu dalam politik Mesir. Pertama sekali kita perlu lihat kronologi. Apa yang berlaku sejak revolusi 25 Januari 2011. Kedua, kita perlu melihat kepada geopolitik Mesir.

Apabila kita melihat kronologi sejak revolusi 25 Januari 2011, buat pertama kali rakyat Mesir diberikan peluang untuk menentukan hidup mereka sendiri. Pertama kali mereka diberikan peluang untuk memilih sendiri presiden dalam pilihan raya yang bersih dan adil. Pertama kali mereka diberikan peluang untuk menikmati pemberdayaan rakyat (citizen empowerment) dalam erti kata sebenar.

Jadi bayangkan, dalam sejarah yang begitu lama usianya, tidak pernah mereka lalui dan ini buat pertama kali mereka diberi peluang sebegitu, sudah tentu akan terdapat proses pembelajaran atau learning curve, turun dan jatuh. Itu yang kita kena letak dalam kepala!

Kedua, walaupun revolusi 25 Januari telah berjaya menurunkan Mubarak sebagai kepala, tetapi badan dan ekornya masih tinggal. Tentera masih berpihak kepada Mubarak.

Pihak keselamatan yang telah dimatikan (fungsi sebenar) terutama Special Branch, ditukarkan peranan daripada menjaga kemaslahatan rejim Mubarak kepada menjaga keselamatan rakyat, tetapi mereka masih lagi berpihak kepada Mubarak. Mereka masih tidak boleh mencapai perkara itu. Selama ini mereka bertugas menjadi apparatus kepada kerajaan, sekarang ditukarkan untuk menjaga keselamatan rakyat.

Daripada hamba kepada diktator (Mubarak) ditukar berkhidmat kepada rakyat. Ini yang mereka tidak boleh nak adapt.
Begitu juga dengan tentera. Tentera lagi parah. Selama ini, Mubarak adalah tentera, orang kiri kanan dia semua tentera dan mereka mengawasi ekonomi. Apabila berlaku transisi, lapisan tektonik berubah.

Berlaku juga perubahan paradigma. Selama ini semua, ekonomi, rakyat dan sebagainya serve pada interest dia (Mubarak), memberikan mashalat kepada mereka (orang di sekeliling Mubarak), tetapi selepas itu, apabila berlaku perubahan, mereka pula yang sebaliknya terpaksa berkhidmat untuk rakyat.

Lebih menarik lagi, rakyat akhirnya berjaya diberikan peluang (untuk membuat keputusan sendiri) setelah tentera berkuasa penuh dalam tempoh yang sangat lama sejak 1952 selepas rampasan kuasa. Pada tahun 1954, ketua tentera, Gamal Abdel Nasser naik sebagai presiden dan memulakan pemerintahan tentera secara keseluruhan.

Media dan ekonomi yang merupakan dua institusi utama dalam negara yang dikawal oleh tentera. Tentera telah mencorakkan perjalanan politik Mesir mengikut maslahat mereka.

Kerana itu, kita lihat dalam laporan Washington Post dan berbagai tulisan lagi yang ditulis oleh pakar-pakar yang mengkaji ekonomi Mesir, mereka (tentera) menguasai lebih 40 peratus ekonomi Mesir sebagai institusi. Itu institusi, kalau sebagai individu, lagilah banyak.

Satu lagi, media. Media selama ini berkhidmat kepada rejim. Mereka terikat apabila terikat kepada rejim. Editor, CEO, pemilik, orang yang pegang syer semua ini, mereka adalah orang rejim lama dan mereka masih ada lagi.

Justeru, adakah benar apa yang berlaku pada 25 Januari 2011 itu boleh dianggap satu revolusi yang lengkap. Ia sebenarnya tidak!

Senarionya, sejak tahun 1952 hingga 2011 dan 2013, Ikhwanul Muslimin digambarkan oleh media sebagai pengganas, jahat, ekstrem dan sebagainya mengikut label Amerika Syarikat.

Bagi yang hanya mengikuti cerita Ikhwanul Muslimin menerusi media, mereka akan percaya. Tapi bagi mereka yang mengenali Ikhwanul Muslimin, tahu Ikhwan sebagai satu badan kebajikan yang bergerak memberikan bantuan kepada anak yatim, orang miskin, orang tua dan sebagainya selain Ikhwan ada hospital mereka sendiri, mereka ini yang dapat personal touch daripada Ikhwan, mereka tidak boleh terima tuduhan seperti itu, mereka tidak percaya kerana mereka tahu Ikhwan bukan seperti yang digambarkan oleh media pro rejim.

Selepas revolusi 25 Januari, apa yang berlaku apabila mereka diberi peluang untuk memilih buat pertama kali, mereka ada kesedaran untuk buat pilihan. Jadi, di sini wujud dua kelompok. Satu kelompok yang mengenali Ikhwan secara dekat menerusi program-program kebajikan yang mereka buat sejak sekian lama manakala yang satu lagi, yang pemikiran mereka telah terdedah dan dibentuk persepsi mereka oleh laporan media Mesir yang pro Mubarak selama ini.

Selepas 25 Januari 2011, apabila dilangsungkan pilihan raya Parlimen, ketiga-tiga pusingan dimenangi oleh Ikhwan dengan majoriti hampir 50 peratus. Demikian juga kelompok Islamist lain termasuk Salafi yang menang antara 20 hingga 25 peratus.

Pada pilihan raya presiden pada 2012, Mursi menang 52 peratus. Sangat besar dan di Mesir, mereka menentukan keputusan pilihan raya presiden menerusi undi popular. Dalam keadaan ini, kita dapat lihat keadaan polarisasi rakyat semakin jelas di Mesir, antara dua kumpulan.

Apa yang berlaku? Seperti yang saya katakan tadi, demokrasi masih baru di Mesir. Rakyat masih baru dengan demokrasi. Sepatutnya mereka dididik bahawa apabila diberikan peluang untuk memilih lima tahun sekali, apa tujuannya? Itu yang mereka kena faham dan manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Demokrasi bukanlah satu agama untuk kita anuti tetapi demokrasi adalah satu mekanisme untuk menguruskan perbezaan.

Semua orang berbeza sama ada berbeza dalam pandangan, ideologi, politik, agama dan pendekatan. Kerana itu, perlu ada satu mekanisme untuk memutuskan persetujuan. Kalau kita tidak ada satu mekanisme untuk semua bersetuju, kacau.

Mekanisme hanya ada dua, satu pemerintahan diktator. Ya, diktator boleh menyatukan tetapi menyatukan dalam keadaan besi dan rotan atau dalam erti kata lain, pemerintahan kuku besi. Tetapi perkara itu tidak genuine. Ini kerana hak rakyat akan dicabuli, tiada kebebasan dan akhirnya akan ada kumpulan yang akan memonopoli kuasa dan ekonomi. Ia tidak boleh pakai kerana bertentangan dengan norma manusia dan Islam serta peradaban mutakhir manusia.

Ada solusi kedua dalam mekanisme iaitu demokrasi yang sudah tersusun. Sejarah manusia yang panjang ini telah menghasilkan demokrasi setelah kita penat berperang kerana agama, kerana bangsa dan berebut kuasa. Akhirnya demokrasi dihasilkan untuk mengelak pertumpahan darah dalam politik.

Tetapi atas nama demokrasi, semua pihak harus bersetuju. Maksudnya kita pergi ke ballot box lima tahun sekali dan bersetuju dengan keputusan itu. Tidak semestinya yang berkuasa hari ini akan terus berkuasa. Jika tidak berpuas hati, dalam sistem demokrasi ada rule of law, ada kedaulatan udang-undang, ada check and balance, ada peranan pembangkang, ada civil society. Jadi perkara ini perlu berlaku. Ada juga peranan media.

Jadi semua akan memainkan peranan dalam masa lima tahun itu. Rakyat akan diberdayakan dan akhirnya buat pusingan yang baru. Itulah demokrasi dan kita harus bersetuju.

Di Mesir, perkara ini tidak berlaku. Baru naik setahun, sudah dijatuhkan. Persoalannya kenapa? Kembali kepada persoalan asas, Mubarak sudah tiada, tetapi 'badan dan ekornya' masih ada.

Satu persoalan lagi, bagaimana pula dengan dengan kumpulan liberal, April 6 Youth Movement? Mereka tidak berpihak kepada tentera ataupun rejim Mubarak. Mereka juga main peranan dalam revolusi 25 Januari. Bagaimana mereka juga boleh melawan Mursi? Jawapannya mereka tidak menang pilihan raya dan tidak menghormati pilihan raya yang adil dan bersih. Itulah yang sedihnya!


Berdasarkan kenyataan Prof Mohamed Selim (profesor sains politik Universiti Kaherah), rakyat memilih Mursi dalam pilihan raya tetapi apabila sudah menang, yang memerintah bukan Mursi sebaliknya Ikhwan yang dikatakan cuba hendak memerintah Mesir ikut model mereka sendiri. Itu yang tidak boleh diterima oleh rakyat?

Ini hujah yang lazim digunakan media di Mesir dan cuba digambarkan oleh golongan yang Tamarood untuk jatuhkan Mursi. Mursi dituduh tidak berkuasa sebaliknya yang berkuasa adalah Ikhwan.

Dari sudut mana boleh dikatakan begitu?

Jika dari sudut membuat keputusan, Mursi buat keputusan bersama Majlis Penasihat Presiden. Dalam majlis ini, hanya seorang anggotan Ikhwan iaitu Wael Haddad. Wael Haddah jadi penasihat presiden bagi hubungan antarabangsa. Tetapi yang ramai dalam Majlis Presiden bukan daripada Ikhwan.

Mereka terdiri daripada wakil Kristian Koptik, wanita, teknokrat, Salafi dan kumpulan-kumpulan lain yang terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan oleh Presiden Mursi. Malah Mursi sewaktu awal kemenangannya dulu pernah mempelawa El Bardaie, pesaingnya dalam pilihan raya yang tewas untuk dilantik ke jawatan Timbalan Presiden Mesir. Mursi juga mempelawa pesaing-pesaingnya yang lain tetapi mereka menolak dan kemudian menuduh beliau bolot kuasa.

Mursi memang seorang yang sangat teliti. Beliau tidak pun tawarkan jawatan kepada bekas anggota Ikhwan yang keluar meninggalkan pergerakan seperti Abdul Muin Abdul Futuh walaupun Abdul Muin kawan lamanya dalam Ikhwan. Mursi juga tidak lantik anggota Ikhwan melainkan Wael Haddah seorang saja. Jadi apa asas untuk kata Mursi melebihkan orang Ikhwan, apa lagi dikuasai Ikhwan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden Mesir?

Perdana Menteri, Hisham Kandil, pun bukan orang Ikhwan. Hisham seorang teknokrat yang tidak pernah ada sejarah bersama Ikhwan.

Dalam Kabinet pun hanya ada empat saja wakil Ikhwan, itu pun mereka diberikan kementerian yang tidak strategik dari segi politik atau sebarang usaha memonopoli kuasa.

Satu perkara yang sudah terang lagi bersuluh, Mursi tidak melantik orang Ikhwan untuk menjaga Kementerian Pertahanan. Abdel Fattah Al Sisi yang beliau lantik, kemudian menggulingkannya sudah tentu bukan orang Mursi.

Apa yang akan berlaku selepas ini?

Pada awal berlaku, ada empat senario. Senario pertama yang Ikhwan hendak iaitu senario 'Venuzeula', kudeta, mass movemnet then the next day, Ikhwan naik semula.Itu yang mereka gambarkan dan itu yang mereka pergi ke Dataran Rabaah Adayiwah. Malangnya mereka tidak sediakan pelan B.

Saya pernah kata kepada seorang ahli Ikhwan Mesir yang saya temui dalam satu forum bahawa itu tidak akan berlaku, tetapi dia tetap kata akan berlaku. Katanya, kalau itu terjadi, dia akan hubungi saya.

Saya berani kata begitu kerana saya tahu Ikhwan sedang berurusan dengan monsters.

Masalah orang Ikhwan, mereka rata-ratanya pendakwah. Apabila masuk politik, mereka bawa sikap pendakwah. Tetapi dalam politik tidak boleh, perlu ada penyesuaian sebab dalam politik, kita berurusan dengan monsters.

Orang Ikhwan mereka ingat semua orang baik macam mereka. In Egypt, even worst you are dealing with devil. Mereka (Ikhwan) jenis manusia yang selalu bersangka baik. Kalau jahat pun bagi mereka, jahat sikit-sikit saja, bukan jahat betul-betul. Itu yang silap. Tapi orang ini, jahat mereka tiada dalam kamus kejahatan. Ikhwan terlupa tentang itu.

Walaupun 80 tahun berpengalaman, Ikhwan tidak belajar. Ini kritik saya kepada Ikhwan. Sepatutnya mereka (Ikhwan) ambil waktu dulu untuk bina kredibiliti sebelum all out dalam politik, sebelum memerintah.

Sebab itu saya konsisten untuk mengatakan bahawa Ikhwan akan hadapi masalah jika terus masuk politik, masuk pilihan raya. Dulu saya pernah menulis kritik saya apabila Ikhwan masuk politik.

Mereka tak sepatutnya bertanding pilihan raya presiden. Mereka masih belum bersedia dalam erti kata sebenarnya! Ikhwan sebenarnya layak untuk memerintah tetapi mereka terlalu bersangka baik sesama manusia. Itu kelemahan mereka.

Apa pun masalah Ikhwan, itu bukan justifikasi untuk tentera melakukan kudeta dan bukan alasan untuk tentera membunuh rakyat jelata dan sewenang-wenangnya memfitnah Ikhwan sebagai pengganas.

Senario kedua, Algeria. Ini yang tentera nak wujudkan, perang saudara yang akhirnya akan mendorong Ikhwan angkat senjata.

Ini juga tidak akan berlaku kerana Ikhwan tidak akan angkat senjata. Ikhwan apabila ditekan seperti ini, bukan kali pertama bagi mereka. Ini sekadar mengulangi skrip zaman Gamal Abdel Nasser.

Sebab itu Jihad Al Haddad, jurucakap Ikhwan pernah kata, apabila tentera menekan Ikhwan, haramkan Ikhwan, mereka sebenarnya meletakkan Ikhwan kembali di zon selesa. Sudah 60 tahun mereka berada dalam zon selesa. Ikhwan keluar dari zon selesa apabila mereka masuk politik.
Sekarang mereka dihantar semula ke zon selesa dan mereka mengembalikan semula kekuatan mereka.

Selepas ini, Ikhwan akan naik semula dengan lebih kuat. Ini yang akan berlaku dan Ikhwan tidak akan angkat senjata sebagaimana yang diingini oleh tentera.

Biar beribu pun orang-orangnya mati dibunuh, Ikhwan tidak akan angkat senjata dan akan terus bergerak atas dasar keamanan.
Pendekatan Ikhwan kita boleh kaitkan dengan pergerakan politik Gandhi Satyagraha yang anti peperangan dan anti keganasan sebaliknya mereka bergerak dengan penuh kasih sayang sesama manusia atau kalau di Amerika Syarikat, pendekatan Ikhwan mungkin seperti apa yang dilakukan oleh Gene Sharpe yang juga mengambil inspirasi Gandhi Satyagraha. Bagi saya, inilah Satyagraha Ikhwanic Style. Algeria tak akan berlaku!

Yang ketiga model Turki. Kalau kita lihat, Necmettin Erbakan (Perdana Menteri Turki yang digulingkan tentera) pernah jatuh.
Sebenarnya itu kali ketiga tentera jatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya. Sebelum itu, sudah dua kali kudeta berlaku. Jika ini model yang Ikhwan nak belajar oklah. Lawan tetap lawan. Dan selepas ini, akan berlaku lagi.

Cuma Ikhwan dianggap berbeza dengan kumpulan Miligoroush. Miligoroush adalah jamaah dakwah yang langsung tidak terlibat dalam politik. Tetapi orang Miligoroush atau Milis yang minat politik seperti Erbakan, mereka boleh masuk politik.

Jadi mereka buat parti Refah. Apabila Refah diharamkan, Erbakan tubuhkan parti Fazilet, Ini tidak berlaku pada Ikhwan yang mana mereka sendiri keliru.

Ikhwan nak kekal jadi jamaah tetapi pada masa sama, mereka juga mahu berpolitik. Itu tidak boleh kerana untuk berpolitik, perlu ada political will. Khwan sepatutnya hanya hantar orangnya masuk politik dan biarkan mereka berdikari. Dengan itu, mereka masih boleh terus bebas menjalankan kerja dakwah.

Yang keempat, model Lubnan. Kalau kita ingat, Lubnan pernah berperang saudara selama 16 tahun.

Perang ini ditamatkan dengan Perjanjian Taba pada 1995 yang pengantaranya adalah Arab Saudi. Saudi sebagai pengantara telah meletakkan Rafik Hariri sebagai pemimpin baru Lubnan.

Rafik Hariri orang Saudi. Sungguh pun begitu, perjanjian itu tetap berjaya kerana semua pihak bersetuju untuk ke meja rundingan.

Tapi di Mesir, perkara macam ini tak boleh berlaku dan tak mungkin berlaku. Ini kerana di Mesir, tentera sangat berkuasa dan mereka tidak akan bersetuju untuk mengurangkan kuasa mereka.

Itu masalah utama! Sekarang, kita tunggu model yang keempat. Saya pun tak tahu negara mana yang boleh jadi model keempat untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah di Mesir.

Kalau mengikut model yang keempat, syarat utama perdamaian ialah pengantaranya mesti jujur. Saudi sudah terbukti bukan pengantara yang jujur, UAE pun bukan. Qatar mungkin jujur tetapi tentera tidak mahu Qatar terlibat, Tamarood pun tolak.

Malaysia?

Ya! Malaysia boleh cuma isunya, dasar luar Malaysia sekarang tidak kuat. Kita faham polisi Malaysia untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain tetapi dalam keadaan tertentu, kita masih juga perlu main peranan terutama apabila melibatkan negara-negara Islam.

Malangnya Kementerian Luar kita sekarang tidak proaktif, tidak dinamik. Dalam konteks ini, Turki ada kekuatan dasar luar. Menteri Luar Turki, Ahmet Davotuglu mempunyai framework, mempunyai big picture dalam polisi negaranya tetapi malangnya kita tidak ada kekuatan itu walaupun kita ada potensi untuk membantu Mesir dalam perkara ini.

Dalam hal ini, Tun Dr Mahathir kita lihat sebagai seorang negarawan yang dihormati perlu main peranan sebagai seorang pengantara yang ikhlas dan dikenali di seluruh dunia atas usahanya untuk perdamaian selama ini. Tun juga tidak ada kepentingan malah Tun bukan seorang yang pro Ikhwan.

Selama ini pun dia agak sinis terhadap Ikhwan tetapi dia dipercayai oleh Ikhwan. Dan kita juga tahu Tun tidak ada kepentingan dengan pemimpin tentera Mesir.

Dia juga dihormati oleh mereka. Untuk tujuan ini, Tun jika bersendirian tidak boleh. Jadi saya fikir, Indonesia perlu dilibatkan.

Seeloknya Turki tetapi sekarang tidak boleh main peranan dalam konflik di Mesir kerana negara itu amat berpihak kepada Mursi. Jadi mereka tidak dipercayai oleh rejim Al Sisi. EU (Kesatuan Eropah) ada kemungkinan boleh main peranan ini.

Dalam hal ini, saya melihat usaha Tun boleh digerakkan melalui yayasannya, Perdana Global Peace Foundation (PGPF).

Bagaimana pula saudara boleh mengatakan bahawa Mursi ketika jadi Presiden Mesir telah mengambil model ekonomi Malaysia atau khususnya Tun Mahathir untuk dicontohi?

Polisi ekonomi Mesir ketika bawah pentadbiran Mursi adalah pandang ke Timur dan pandang ke Selatan, sebagaimana yang saya nyatakan tadi adalah mirip apa yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir selepas dilantik perdana
menteri.

Ketika itu, Mursi ada menyebut bahawa model yang mahu dicontohinya adalah Turki dan Malaysia. Atas dasar itulah, Ikhwan pernah mengundang Tun melalui kedutaan kita untuk ke Kaherah sebagai penasihat Projek An Nahda yang dibangunkan oleh Kerajaan Mesir pada Mei lepas.

Tun sudah jumpa Mursi, sudah jumpa Ikhwan. Ketika di sana Tun juga turut menyampaikan ceramah dalam satu program International Renaissance Experience: The Malaysia Case dengan ahli-ahli ekonomi Mesir pada 21 Mei 2013.


No comments:

Post a Comment