07 November 2013

Help Palestine [hidayahnet] Fw: MEMPERCAYAI KUBUR SEBAGAI KERAMAT





MEMPERCAYAI KUBUR SEBAGAI KERAMAT
(Bilangan 103 Siri Akhir)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

DEMIKIAN juga halnya dalam urusan memberi rezeki. Tidak ada satu kuasa pun yang dapat memberikan rezeki kecuali kuasa Allah. Firman Allah Subhanahu Wataala.

Tafsirnya: "Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersebut dalam kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada Malaikat yang berkenaan)." (Surah Huud: 6).

Berdasarkan ayat dan hadis di atas, memelihara atau memuja kubur, pungsu dan seumpamanya dengan kepercayaan ia mempunyai keramat atau kuasa yang boleh membawa tuah dan memberi rezeki, maka adalah ia suatu perbuatan syirik dan hukum syirik itu adalah dosa yang paling besar.

Kita hanya dituntut supaya bermohon kepada Allah bukan kepada yang lain-lain sepertimana yang disebut oleh hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Maksudnya: "Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah." (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Meminta atau memohon kepada Allah merupakan doa, dan doa itu pula suatu ibadat. Ibadat tidak boleh dilakukan melainkan kepada Allah semata-mata, bukan kepada yang lain yang terdiri daripada makhluk-makhluk Allah, lebih-lebih lagi jika benda-benda itu tidak bernyawa seperti batu, kayu, kubur, pungsu dan lain-lain yang tidak dapat memberi manfaat atau mudarat, sebagaimana patung-patung tidak dapat memberi manfaat atau mudarat. Kepercayaan kepada benda-benda seperti ini adalah karut dan wajib ditolak.

Wajib pula diketahui bahawa meminta atau memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada Allah itu mestilah dengan cara langsung bukan melalui sesiapa seperti melalui manusia, melalui pungsu, kubur, batu atau kayu. Maka sesiapa yang berbuat demikian adalah dia berbuat bida'ah dalam agama dan tidak mengikut jalan orang-orang yang beriman, bahkan ditakuti mati dalam keadaan syirik jika tidak bertaubat.

Oleh yang demikian memuja kubur, pungsu dan seumpamanya dengan meletakkan barang di atasnya seperti wang, lilin dan kain kuning, dengan kepercayaan bahawa benda-benda tersebut mempunyai kuasa yang boleh membawa tuah atau menambah rezeki atau mempercayainya mempunyai keramat adalah perbuatan sesat yang boleh membawa syirik, kerana dia menafikan kuasa Allah yang Maha Pengurnia, sebaliknya mempercayai kepada benda-benda tersebut sebagai mempunyai kuasa.

Satu perkara penting yang wajib dijaga serta dipelihara dalam mencari kesenangan hidup di dunia ialah segala usaha kita ke arah itu mestilah tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Kita hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan syirik atau melafazkan perkataan yang boleh membawa kepada syirik. Perlumbaan mencari kesenangan kadang-kadang menjadi fitnah jika ianya tidak disertai dengan iman yang kuat, kerana iman yang lemah akan mudah dipengaruhi walaupun dengan hanya sedikit kesenangan yang diperolehi itu.

 Hal ini dijelaskan oleh Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: "Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal (yang berkebajikan) sebelum muncul pelbagai fitnah yang bagaikan bahagian-bahagian malam yang gelap- gelita, di mana pada waktu pagi seseorang itu beriman tetapi pada waktu petangnya dia menjadi kafir, atau pada waktu petang dia beriman tetapi pada waktu paginya dia menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan harta benda dunia." (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga mengingatkan kepada umatnya supaya sentiasa berlindung daripada perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah). Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda yang bermaksud : 

"Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyampaikan khutbah kepada kami: "Wahai manusia takutlah kamu mengenai syirik, kerana syirik itu lebih tersembunyi daripada rayapan perjalanan semut." (Abu Musa) berkata kepada Baginda: "Sesiapa dengan kehendak Allah, dengan berkata bagaimana kita menjauhi syirik dalam keadaan ia lebih tersembunyi daripada rayapan perjalanan semut? Baginda bersabda: "Kamu ucapkan :"Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan engkau daripada sesuatu yang boleh menyekutukan- Mu sedangkan ianya kami tidak mengetahui." (Hadis riwayat Ahmad).

Maka adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim supaya berhati-hati terhadap perkara yang boleh membawa syirik, dengan apa jua sebabnya lebih-lebih lagi untuk mengaut keuntungan harta atau dunia jika dibandingkan dengan akibat yang ditanggung kemudian hari.

No comments:

Post a Comment