02 November 2013

Help Palestine [hidayahnet] Bajet dan nasihat Nabi Syuaib

 

Bajet dan nasihat Nabi Syuaib
 
Kita baru sahaja mendengar pembentangan Bajet 2014. Pelbagai ulasan dibuat oleh pelbagai pihak. Ada yang pakar, ada yang tidak pakar. Ahli ekonomi apabila berkata-kata banyak istilah dan angka yang mereka lafazkan. Orang awam mungkin tidak semua yang faham. 

Jika pun mereka tahu maksud, mereka tidak tahu pula antara angka yang benar dan angka yang 'disilapmatakan'. Apabila hutang negara bertambah, beban rakyat meningkat, kehidupan menjadi sukar, jenayah dan ketakutan mula merayap ke segenap kehidupan rakyat dan sebagainya, maka bala dan derita itu dirasai semua peringkat. 

Mereka yang faham dengan segala istilah dan angka, juga mereka yang kurang faham atau langsung tidak faham pun akan merasai derita dari segala bala tersebut. 

Saya tidak mahu mengulas bajet secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh pakar-pakarnya. Saya sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Syuaib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.

Nabi Syuaib merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada kaum Madyan. Beliau terpaksa menghadapi karenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan harta yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka. 

Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Nabi Syuaib bagi mengingatkan sesiapa yang terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam menguruskan harta. Bahasa Nabi Syuaib bahasa asas yang dapat difahami oleh semua peringkat.

Penipuan harga

Penipuan harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku sama ada dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan dengan nilai yang sepatut. 

Sehingga projek-projek itu dibayar oleh kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi 'sukatan' ataupun 'timbangan' yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Syuaib tegaskan dalam seruannya. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Syuaib, dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi." (Surah Hud ayat 84)
Menipu timbangan ataupun sukatan bukan bererti tidak langsung menimbang ataupun menyukat, tetapi sukatan dan timbangan secara tipu. Inilah punca kemusnahan kehidupan penduduk Madyan kerana ada pihak yang menipu dalam berurusan dengan pihak yang lain. 

Justeru, negara yang baik hendak mempratikkan 'good monetary policy' yang dapat menyelamat harta awam dari ditipu ataupun dirompak secara 'lulus di atas kertas'. Kebanyakan penipu silam dan moden memperlihatkan seakan mereka jujur pada mata yang tertipu, tetapi hakikatnya mereka penipu. Hal ini akan menyebabkan negara yang zahirnya kaya, tetapi rakyatnya susah sebab timbangan dan sukatan mereka sudah ditipu. Nampak banyak, hasilnya sedikit.

Mengurangi hak

Ingatan Nabi Syuaib yang lain yang bermaksudnya: "Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya. (Surah Hud: 85)
Dalam konteks negara, jika kita membicarakan tentang hak, maka hak rakyat menikmati kekayaan bagi setiap negara tidak sama. Ia bergantung kepada latar kekayaan negara tersebut. Jangan samakan Malaysia dengan negara yang lebih miskin dari kita ataupun sebaliknya. 

Sebab itu al-Quran apabila menyebut tentang mut'ah yang suami patut berikan kepada isteri yang diceraikan, Allah memerintahkan agar kadarnya ditentukan oleh kemampuan masing-masing. 

Allah menyebut: "...hendaklah kamu memberi "mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu), iaitu suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan." (Surah al-Baqarah, ayat 236)
Suami yang kaya tidak boleh memberikan saguhati ataupun mut'ah itu seperti kadar yang diberikan oleh suami yang miskin. Dia tidak boleh bandingkan hak isterinya dengan isteri orang tidak sekaya dirinya. Demikian hak-hak rakyat dalam setiap negara itu berbeza berdasarkan kekuatan kekayaan negara berkenaan. 

Tidak boleh mana-mana kerajaan yang kaya menyamakan hak rakyat di negaranya dengan rakyat di negara yang lebih miskin daripadanya. Lebih buruk lagi jika sebahagian 'bangsawan' dan 'atasan' menikmati kekayaan sesebuah negara secara berlebihan sementara sebahagian rakyat hanya menjilat lebihan kuah yang tumpah ke lantai sahaja.

Keberkatan

Intipati yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal. 

Kata Nabi Syuaib a.s yang bermaksudnya: "Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu". (Surah Hud, ayat 86)
Inilah asas jiwa insan yang jujur dalam pengurusan ekonomi. Jiwa yang memadai dengan yang halal dengan tidak mengambil harta orang lain atau pun mengurangkan hak mereka. Memadai dengan apa yang tinggal dari pengurusan yang halal itu lebih baik dan diberkati Tuhan. Dilimpahkan kedamaian dan kebaikan dari pelbagai sudut dalam kehidupan. 

Kebahagiaan bukan hanya diukur dengan jumlah harta tetapi kurniaan keberkataan limpahan Tuhan kepada kehidupan ini. Keberkatan adalah elemen yang ditekankan dalam pengurusan ekonomi Islam yang tiada dalam sistem ekonomi yang lain. Keberkatan itu seperti kata Al-Asfahani (meninggal 425H) bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran ms 119, Damsyik: Dar al-Qalam)

Lihatlah bila keberkatan hilang maka orang yang kaya-raya pun hidup tanpa bahagia. Pencuri-pencuri harta awam hendaklah faham hakikat ini. Pengurus harta awam juga hendaklah faham. Justeru itu kita kena sedar bahawa jumlah jenayah dan keadaan tekanan hidup yang sedang meningkat dalam negara kita adalah antara tanda hilangnya keberkatan kehidupan. 

Urus tadbir

Urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang bertanggungjawab lagi baik. 

Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan karekteristik sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji tentang international development boleh menperincikannya.

Apapun, nasihat-nasihat Nabi Syuaib adalah kunci kepada urustadbir harta yang baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnyaAs-Siyasah asy-Syar'iyyah fi Islah ar-Ra'i wa ar-Ra'iyyah sebut: 

"Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. 

Ini seperti yang Nabi SAW sabda: "Aku - demi Allah - tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan". 

Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah.
"Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka.
Sebaliknya dia (Rasulullah SAW) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan".

Sambung Ibn Taimiyah lagi: "Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) Umar bin al-Khattab: "Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta'ala (harta negara). 

Jawab Umar: "Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?." [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN  adalah bekas mufti Perlis.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine**

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at hidayahnet-owner@yahoogroups.com with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim 
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Ikram Malaysia                 : http://www.ikram.org.my
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/ 
.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment