============================================
Dia seorang pendakwah yang versatil. Kuliah dan tazkirahnya bersepadu antara ilmu, kisah, madah dan gurauan yang
berhikmah. Mendengar kata-katanya
membuat kita berfikir, ketawa dan menangis.
Paling saya ingat, kuliahnya tentang
mati. Saya tidak pernah jemu walaupun telah mendengarnya berkali-kali. Peristiwa yang paling saya ingati ialah apabila kami sama-sama mengendalikan satu program latihan di Janda Baik, Pahang.
"Ustaz, tolong sambung ceramah saya. Tangan saya menggeletar, fikiran saya melayang, hati berdebar-debar," ujarnya sebaik memberi salam dan menerpa ke bilik
penginapan saya yang hanya bersebelahan dewan kuliah.
Saya yang sedang tidur terjaga dan terus menyambung kuliahnya. Seingat saya tentang 'Bahaya Dosa'. Sejak itu dia sering
uzur. Ajakan saya untuk dia dan keluarga menetap di KL ditolak dengan baik. Dia memilih untuk
tinggal di kampung halamannya, satu daerah terpencil di negeri Pahang. Saya memahami tindakannya. Sebagai anak yang sangat taat, dia memilih untuk
tinggal berdekatan dengan ibu-bapanya.
Sejak itu dia sekali-skala sahaja bersama saya menjalankan program latihan. Kebanyakan masanya dihabiskan berdakwah di Pahang. Paling saya terhibur apabila mendengar kuliahnya dalam radio Malaysia Pahang. Intonasi suara, lenggang lenggok bahasanya serta butiran fakta
ceramah semakin meningkat. Dalam hati, saya bangga punya sahabat sepertinya.
Namun, suatu yang saya tidak pernah lupa, dia akan mengirim ikan patin masak tempoyak setiap kali berkesempatan. Sungguh lazat ditambah dengan sambal kering hitam belimbing. Semua masakan cara kampung. Bukan sedikit, kadangkala sampai penuh bekas
besar yang dikirimnya.
"Ustaz Rujhan, buat susah-susah sahaja, " begitu kata saya apabila menelefonnya semula sebaik kirimannya
sampai.
"Ana tahu, ustaz dan isteri ustaz tentu suka…" jawabnya pendek.
Beberapa bulan berlalu… kami sibuk dengan tugas masing-masing. Tugas kami menyebabkan jarang-jarang kami berada di rumah. Apatah lagi sahabat, isteri dan anak-anak sendiri pun sering berenggang. Dia sering bergerak sendirian. Secara solo dia berdakwah ke sana ke mari. Pergi sebelum Subuh, pulang jauh-jauh malam.
Paling saya inginkan dia menjadi seorang penulis. Dia punya bakat yang besar. Hafalannya mantap. Cuma, mungkin kerana kekangan masa dan tenaga, dia
terpaksa memilih untuk berceramah berbanding menulis.
"Dah ada rangkanya.
Banyak sudah poin-poin penting, "katanya.
"Apa lagi… tulislah. Jangan tunggu masa lapang ustaz, lapangkan masa," nasihat saya sebagai seorang abang.
Tiba-tiba saya mendengar dia diserang 'serangan jantung' kali pertama. Saya terkejut. Rupa-rupanya rasa gementar, tangan yang menggeletar tahun-tahun yang lalu itu mungkin simptom awal pada serangan jantung. Ah, sayang sungguh, saya tidak sempat meluang masa untuk kembara menziarahinya kerana
saya sendiri mengalami sakit akibat koyaknya otok dua belah bahu, kiri dan kanan. Saya tidak dapat
memandu kerana otot leher selalu diserang 'frozen shoulder'. Ayah pula sakit-sakit ditambah kerja menulis dan mengendalikan latihan.
"Dia diserang strok kali pertama di bulan Ramadan ketika membaca Al Quran," begitu yang saya dengar daripada rakan-rakan yang berulang menziarahi. Saya terkilan. Terasa 'berhutang' kepadanya. Saya tidak mahu menelefonnya, saya ingin menziarahnya. Bila? Nantilah… bisik hati memberi alasan. Kali kedua dia diserang strok, waktu itu saya sedang bersedia untuk membuat pembedahan (ditangguhkan sementara hingga kini atas sebab-sebab teknikal). Namun kali ini saya bertuah…
"Ustaz, apa khabar… rindu sangat dengan ustaz," ujarnya beberapa lama selepas 'kebah' daripada serangan strok yang
kedua.
"Ya Allah, ana pun
rindu," ujar saya. Mudah-mudahan rindu kami kerana Allah.
"Ana nak bersama ustaz semula. Sudah rindu untuk ikut modul dan berkongsi ilmu serta pengalaman," katanya.
"Ustaz datanglah. Ana sering uzur," balas saya.
Kami berbual agak lama. Terlalu lama, ulas isteri saya. Kami sama-sama keberatan untuk menamatkan panggilan. Dia bertanya pelbagai perkara. Berkongsi bermacam-macam rasa.
"Bagaimana ustaz membahagikan
masa?"
Itulah antara soalan yang masih saya ingat. Walaupun dia selalu bertanya, tetapi diam-diam saya akui bahawa
sayalah hakikatnya banyak belajar daripadanya. Belajar bersantai dalam memberi kuliah. Belajar mengadun antara fakta, cerita dan gurauan dalam batas dakwah dan tarbiah.
Tengah Jumaat itu, saya di utara. Selepas memberi kuliah secara 'maraton' seawal jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari, saya kembali ke dalam kereta dengan kepala yang berdenyut-denyut. Bagi meredakannya saya bawa berselawat setelah menelan ubat.
"Ustaz, tahu tentang strok?" kata sahabat di sebelah yang
membantu saya memandu kereta.
"Tahu kenapa?" saya menjawab biasa-biasa.
"Ustaz Rujhan, sahabat ustaz telah meninggal sebentar tadi akibat serangan strok," katanya perlahan.
Innalillah wa inna ilaihi rajiun… saya terkejut. Saya terdiam seketika. Setelah membaca surah Al-Fatehah saya buka kembali SMS terakhir yang dikirimnya 3 minggu yang lalu. Menerusi SMS itu memohon maaf dan menyatakan keuzuran kerana belum dapat bertemu. Jika tidak jadual kuliah dan kursus yang telah siap diatur, mahu sahaja saya memecut ke
Pahang untuk menziarahi jenazahnya. Namun apakan daya, masih dua program yang perlu diisi di utara dan tiga program lagi menanti di bahagian tengah dan selatan.
Akhirnya, setelah kira-kira dua minggu
selepas dikebumikan saya di sini… di bawah pohon rendang di sisi pusaranya yang masih merah dan basah. Bersama-sama beberapa orang sahabat terapat, saya bertahlil. Walaupun bumi
berbahang dipanah mentari, namun hati menjadi dingin dibelai kenangan-kenangan indah yang mengiringi pemergiannya.
"Detik pemergiannya pada penghulu segala hari, hari Jumaat."
"Jemaah
masjid penuh berganda ketika solat jenazahnya."
"Allahyarham masih memberi kuliah Subuh di masjid berhampiran pada hari diserang
strok."
"Ketika pusaranya digali, tercium bau yang wangi."
"Sebaik jenazah dikebumikan, hujan turun dengan lebatnya!"
"Dia sangat suka
bersedekah walaupun ketika susah."
"Di akhir-akhir hayatnya dia banyak berzikir, bertahajud dan duha."
Begitulah yang saya dengar berita-berita dan kisah yang melingkari detik kematiannya. Orang yang telah mati akan disebut namanya mengikut amalannya ketika
hidup. Sungguh penceramah yang hebat apabila menyentuh tentang kematian itu pun telah mati… Terbayang anak isteri yang menangis kesedihan dengan pemergian suami seperti yang sering
dibayangkannya… Terbayang detik-detik dahsyat 'Sakaratul Maut' yang sentiasa diperingatkannya. Kini segala-galanya telah dialaminya sendiri.
"Ustaz semua, makanlah… sengaja saya masak ikan patin gulai tempoyak pada tengah hari ini. Ustaz Rujhan dulu selalu menghidangkan ustaz-ustaz masakan ini. Sekarang saya sebagai isteri nak menyambung amalan arwah suami saya…" kata isterinya menjemput kami makan. Selepas makan, kami kumpulkan semua anak Allahyarham. Tazkirah, kata semangat dan kisah-kisah kebaikan ayah mereka kami imbau satu persatu. Mudah-mudahan anak-anak yatim ini menjadi 'orang besar' mengikut jejak anak-anak yatim yang
hebat seperti Rasulullah SAW, Imam
Safie, Imam Bukhari, Imam Hanbali dan lain-lain.
Sungguh saya benar-benar terharu. Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik
kesedihan ini. Dia yang jarang ada di rumah itu akhirnya telah tiada buat selama-lamanya.
"Ustaz, tunjuk ajar saya untuk menulis…"
Masih terngiang-ngiang permintaan terakhirnya. Begitu tawaduknya, pada hal dia telah pun menulis dengan begitu baik dalam sebuah majalah yang semakin meningkat edarannya. Apalah ertinya keindahan sebuah tulisan dibandingkan dengan keindahan sebuah kematian? Saya cemburu, terlalu cemburu… mengenangkan bagaimana dia melakarkan sebuah kehidupan yang penuh perjuangan. Dia
berdakwah, sehingga Subuh yang terakhir.
Benarlah seperti yang sering diungkapkan… cara mati seseorang akan ditentukan bagaimana cara hidupnya. Semoga Allahyarham Ustaz Rujhan bin Hj Razali, anak kepada seorang Tok
Imam,
adik kepada seorang murabbi, suami kepada seorang isteri yang tabah itu… di tempatkan di kalangan para solehin, diampunkan, dikasihani dan diredai Allah! Amin.
Pergilah dulu sahabat ku, aku dan kami semua, pasti menyusul mu nanti.
Al Fatehah…
============================================
Pautan FB | Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man
(Official)
Alkisah berbual dengan mak
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapkan kerja rumah.
"Mi, sekolah macam mana hari ini? Mengapa lambat?" tanya mak sejurus saya tiba di rumah.
"Bagus. Cuma Ustaz Ismail minta bantu di
surau susun buku," saya menipu kerana tidak
mahukan mak terasa sedih, hampa, sakit hati, bimbang dan pelbagai alasan.
Mak tidak berkata apa-apa.
Seminggu berlalu, saya sekali lagi didenda untuk tinggal selepas waktu sekolah dan membersihkan tandas surau. Kali ini atas sebab yang agak memalukan, saya bergaduh dengan kawan saya yang mengejek saya didenda berdiri di luar kelas.
Hari itu, saya pulang ke rumah. Mak bertanya seperti biasa apa keadaan di sekolah dan mengapa saya lambat balik.
Saya menjawab terlewat dan menggunakan alasan yang sama bahawa Ustaz Ismail minta
membantu kerja di surau kali ini mencuci tandas surau.
Mak tidak berkata apa-apa.
Kali ketiga, saya cuba ponteng kelas dan apabila memanjat dinding, saya terjatuh dan terseliuh kaki. Ustaz Ismail yang datang membantu, tapi dalam keadaan nak melenting kerana saya tidak pernah nak belajar jadi baik.
Ustaz Ismail memanggil mak saya datang menjemput saya balik ke rumah. Tapi mak saya tidak tahu memandu, dan bapa pula sudah tiada, maka
Ustaz Ismail akhirnya membawa saya balik ke rumah.
Saya gementar setibanya di rumah. Apakah rahsia saya akan terbongkar?
Selepas menghantar saya ke bilik, mak saya ke pintu pagar berbincang sesuatu dengan Ustaz Ismail.
30 minit mereka berbual. Saya bertambah
gementar kerana saya yakin Ustaz Ismail telah menceritakan segala kejahatan saya pada mak saya.
Selesai perbualan, mak saya datang ke bilik saya. Tangan saya terketar-ketar terasa mak akan menampar saya kerana
menipunya.
"Tiga minggu lepas hari Selasa, Mi balik lewat sebab apa? Dan minggu lepas, Mi balik pun sebab apa?" tanya mak saya.
Saya ternganga dengan soalan itu. Apakah saya harus meneruskan kata-kata bohong
saya? Apakah mak sudah tahu segalanya sekarang datang 'test' saya? Apakah Ustaz Ismail dah memberitahu segalanya?
"Saya tak ingat mak, rasanya kerana Ustaz Ismail," jawab saya mengambil jalan yang selamat dengan
menipu sekali lagi.
Mak melihat saya.
"Tadi Ustaz Ismail memberitahu mak sesuatu," kata mak. Berdebar-debar hati saya mendengarnya… habislah kali ini.
"Ustaz Ismail suruh mak sampaikan ini pada Mi:
Orang yang menipu selalu sakitkan otak dan minda dia. Sebab dia kena ingat pada kata bohong dia sampai bila-bila; kerana jika dia terlupa segalanya akan terbongkar.
Orang yang berkata benar otak dan mindanya ringan. Sebab dia tak perlu ingat kerana apa
yang diceritakannya cerita benar yang tidak berubah mengikut masa," kata mak.
Mendengar kata-kata itu, saya tersentak dan tersentuh seketika.
"Itu saja Ustaz Ismail bagitahu?" tanya saya.
"Ya. Dia pesan Mi jangan berbohong dengan mak kerana nanti rosak otak. Kata Mi ok, cuma nakal sikit. Dan cara hilang nakal mudah, Mi jangan berbohong pada mak, kata Ustaz Ismail," tambah mak.
Sejak hari itu, saya berubah baik. Hubungan dengan Ustaz Ismail semakin rapat, daripada
seorang guru kepada ayah angkat saya.
Wahai anakku,
Janganlah beratkan mindamu dengan kata-kata bohongmu. Kerana setiap kata tipumu kamu akan terpaksa ingat supaya tembelang kamu tidak pecah. Bercakap benarlah sentiasa, kerana ia mudah dan tidak perlu diingat. Apa yang dicerita ialah kebenaran yang tidak diubah masa.
No comments:
Post a Comment