• Pembinaan telaga air bersih (Konsep pembinaan adalah bergelung).Pembinaan telaga air bersih (Konsep pembinaan adalah bergelung).
 1 / 2 
KEMBOJA - Kegembiraan jelas terpancar di wajah 760 keluarga di Kampung Ambel, apabila menerima sumbangan 36 buah telaga daripada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Jaringan Akademia Komuniti, ICAN, UiTM, Norshiha Saidin berkata, pihaknya juga tidak menyangka mampu memberi sumbangan sebanyak itu.

"Kami mula mengumpul dana ini sejak awal Julai, pada awalnya kami menyasarkan tiga ke lima telaga sahaja.

"Tetapi menjelang Ramadan lalu, sumbangan itu datang mencurahcurah daripada pelbagai pihak, sehingga berjaya mengumpul dana sebanyak RM54,000 untuk membina 36 buah telaga," katanya.

Setiap sebuah telaga memerlukan kos RM1,500 dan boleh menampung keperluan 20 buah keluarga.

Penduduk Kampung Ambel sememangnya sangat mengharapkan sumbangan telaga ini yang menjadi punca air bersih buat mereka.

Walaupun ada beberapa kawasan yang mempunyai kemudahan bekalan air paip tetapi kebanyakan penduduk di sini miskin tidak mampu membayar kos pemasangan paip dan membayar bil air.

Menurut Norshiha, medium media baru sangat efektif dalam membantu menjayakan misi kali ini.

"Kami gunakan Facebook dan Youtube sebagai agen menyebarkan maklumat Misi Kemanusiaan Merentasi Sempadan ini.

"Salah seorang pelajar saya turut menghasilkan video yang menyayat hati mengenai kehidupan masyarakat Kemboja, video itu telah dimuat naik di Youtube dan mendapat sambutan hangat," katanya.

Norshiha berkata, idea asal program itu datang daripada salah seorang pelajarnya.

"Kelompok kami kecil sahaja, 10 pegawai dan 10 pelajar. Namun saya sering katakan kepada mereka, walaupun kumpulan kita kecil, kita boleh lakukan perubahan," katanya.

Misi ini juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Al-I'tisam Relief Program (ARP).

ARP sebuah badan NGO yang bergiat aktif dalam menghulurkan bantuan kepada fakir miskin di luar negara.

Menurut Pengarah Eksekutif ARP, Mohd Shah Sapiei, setakat ini ARP talah membina lapan buah wakaf telaga.

"Penduduk Kampung Ambel memerlukan 300 buah telaga lagi bagi memenuhi keperluan seluruh penduduk di sini.

"Pihak kami juga menyasarkan 30 buah telaga lagi dapat dibina tahun ini, jadi kami sangat berharap orang ramai sudi menyumbang dalam tabung wakaf telaga Kemboja," katanya.

Kampung Ambel, sebuah kampung yang diduduki masyarakat Islam Kemboja jauh di pedalaman.

Masih banyak keperluan asas seperti sekolah diperlukan bagi membantu kanak-kanak di sini mendapat pendidikan yang sempurna.