27 December 2013

Help Palestine [hidayahnet] Pelajar Malaysia lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam ??

 




Krisis pendidikan: Pembunuh senyap potensi individu – Nur Fadhilah Zaharin
December 26, 2013

"Kita ada krisis pendidikan yang mencemaskan," itu antara kata-kata yang dilontarkan oleh Dr Siddiq Fadzil sewaktu ucaptama beliau di Konvensyen Pendidikan TFTN Kali Kedua, 21 Disember yang lalu.

Saya kira kata-kata beliau ini sudah cukup menyedarkan kita akan perlunya kita berbuat sesuatu dengan sistem pendidikan sedia ada. Kata-kata ini bukan keluar daripada seorang yang terlibat dalam bidang pendidikan selama 10 atau 20 tahun, bahkan lebih 50 tahun lamanya.

Kata-kata jujur ini merobek perasaan untuk terus mengenalpasti apakah yang selama ini diperkatakan di berita televisyen dan di dada akhbar adalah pembohongan semata-mata. Bilamana setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, hal-hal yang menyenangkan selalu didendangkan buat halwa telinga rakyat jelata. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan mengenai sistem pendidikan di negara ini.

Saban tahun ramai ibu bapa meraikan kejayaan anak-anak mereka apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Anak-anak yang berjaya diberi bermacam-macam bentuk penghargaan termasuk dibawa bercuti, dibelikan hadiah dan sebagainya. Dalam menyambut kegembiraan itu, kita lupa apakah nasib pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik yang berada di kelas corot. Mereka terus disisihkan.

Kita masih menutup mata dengan menganggap bahawa kes mereka adalah kes terpencil walhal tanggapan itu sendiri adalah satu tanggapan kejam buat anak-anak tersebut yang sebenarnya mempunyai impian untuk berjaya dalam hidup. Jika kita memandang kes mereka sebagai kes terpencil, apakah kita masih boleh menganggap yang demikian apabila tinjauan oleh YB Nurul Izzah Anwar di sebuah sekolah rendah di bandar menemukan 40 orang pelajar darjah 6 yang masih belum mampu untuk membaca?

Ibu bapa masih tidak sedar akan potensi anak-anak mereka, sebaliknya terus menghukum dan menghukum tanpa memahami realiti sistem pendidikan yang semakin menjerut anak-anak tersebut. Guru-guru di sekolah pula masih sibuk membuat kerja-kerja perkeranian sehingga tidak ada masa memikirkan nasib anak-anak kelas bawah yang masih tidak tahu membaca.

Mahasiswa pula masih terlibat dengan program-program di dalam kampus sahaja yang membawa corak lama. Jauh sekali untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti oleh badan-badan non-partisan yang lebih bersifat independen dalam mendepani realiti sebenar. Tenaga muda mereka yang sepatutnya digembleng untuk membantu anak-anak seperti ini tidak digunakan sebaliknya mereka masih sibuk berebut tempat parking di dalam kampus.

Jika ditanya kepada anak-anak yang ponteng tentang apakah sebab mereka ponteng ke sekolah, mungkin mereka enggan dan segan untuk memberikan jawapan secara jujur. Tetapi jauh di benak fikiran mereka, terlakar monolog bahawa, "Sekolah tidak ada kasih sayang. Kasih sayang cuma untuk anak-anak yang pandai!"

Jurang pendidikan

Negara telah memperuntukkan perbelanjaan bagi sektor pendidikan beribu juta ringgit setiap tahun. Bagi tahun 2014 ini, negara melabur sejumlah RM54.6 bilion atau 21% daripada keseluruhan peruntukan belanjawan negara bagi sektor tersebut.

Namun apakah natijahnya daripada pelaburan itu sekiranya ia masih tidak dapat menyelesaikan jurang perbezaan yang sangat ketara antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar? Apakah peruntukan sebesar itu cuma digunakan untuk menjayakan projek besar-besaran ataupun menambah gaji perkhidmatan sahaja?
Jurang pendidikan antara gender juga semakin melebar dalam lima tahun kebelakangan ini berdasarkan rumusan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sehingga ada pihak yang mengatakan bahawa sistem pendidikan yang digunapakai sekarang ini adalah "Sistem Pendidikan Perempuan".

Anak-anak terus diasak untuk menjadi doktor dan jurutera kerana memandang kepada kekayaan dan kemegahan. Apakah keadaan ekonomi negara kini begitu meruncing hinggakan anak-anak dihantar ke sekolah dan universiti bagi menghasilkan duit?

Adakah sekolah dan universiti sekarang kilang menghasilkan duit? Jika ketirisan ekonomi pada tahun 2013 ini telah mengundang pertambahan jenayah yang melibatkan senjata api, apakah ia juga mengundang tindakan kita untuk menjadi 'pembunuh senyap' terhadap potensi anak-anak yang mempunyai prestasi corot?
Di sekolah, anak-anak mempunyai peluang yang tipis dalam mengenalpasti bakat mereka. Bidang yang ditawarkan di sekolah adakalanya terlalu terhad hingga membawa kecelaruan kepada anak-anak yang kurang menonjol dari segi penghafalan teori. Kesannya boleh dilihat sampai ke peringkat universiti di mana walaupun keputusan SPM mereka memberangsangkan (tetapi tidak terlalu cemerlang), mereka masih keliru memilih bidang yang mereka benar-benar berkemampuan untuk mengambilnya.

Bidang sastera terutamanya masih dipinggirkan di sekolah, dan kelas-kelasnya ditempatkan murid yang kurang pandai dalam akademik dan dalam bidang sains. Penekanan bidang sastera dan falsafah juga jelas dipinggirkan bilamana tidak ada satupun universiti di negara kita yang mempunyai jabatan atau fakulti falsafah sedangkan fakulti falsafah telah dibuktikan kehebatannya apabila berada di 10 buah universiti terbaik di dunia.

Rugilah jika negara mengabaikan bakat-bakat besar yang terpendam pada generasi ini sebaliknya terus-menerus hanya memberi keistimewaan kepada mereka yang mencebur bidang sains dan teknologi.

Sir Ken Robinson dalam memulakan syarahannya berkata bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai bakat asli yang sungguh besar. Pendapat ini disokong oleh kajian George Land pada tahun 1968, yang mana beliau memberikan sebuah ujian kreativiti Nasa kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun. Ujian itu mendapati bahawa 98% daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti yang genius.

Robinson seterusnya telah mengatakan bahawa sistem pendidikan yang terlalu rigid dan sempit, dengan aspek kesenian, kemanusian dan program pendidikan fizikal yang semakin ditinggalkan, serta budaya obsesif terhadap ujian dan peperiksaan, telah menyebabkan kadar kreativiti kepada murid-murid semakin menurun dengan kadar yang amat mengejutkan.

Dalam ujian George Land tadi, apabila ujian yang sama diberikan kepada kumpulan kanak-kanak yang sama apabila mereka berumur 10 dan 15 tahun, kadar kreativiti telah menurun, dengan hanya 30% dan 12% berada di tahap kreativiti genius.

Mendepani realiti

24 Disember lalu, laporan Bank Dunia mencatatkan bahawa sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka.

"Sekitar 65% daripada pengambilan guru dilakukan oleh kerajaan dan bukannya sekolah itu sendiri, berbanding dengan hanya 5% di Korea Selatan, di mana sekolah-sekolah awam mempunyai lebih autonomi," kata laman berita The Wall Street Journal yang memetik laporan Bank Dunia.

Kongkongan daripada kerajaan menyebabkan guru-guru terpaksa tunduk pada citarasa kerajaan dalam membentuk pelajar bukan guru-guru sendiri yang semestinya lebih tahu hal ehwal pelajar yang merangka pelan pengajaran buat anak-anak murid. Sekalipun sistem yang digunapakai dilihat efektif pada negara-negara luar, ia tidak semestinya sesuai dengan situasi dan keadaan murid-murid di negara ini.

Walaubagaimanapun, berdasarkan analisis daripada Pejabat Parlimen Lembah Pantai, pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan.

Berbanding dengan Vietnam pula, pelajar Malaysia lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam Matematik dan 2.8 tahun di belakang dalam Sains.

Perbandingan keseluruhan di antara pelajar Malaysia dengan Singapura, Korea dan China pula menunjukkan pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun.

Keterbelakangan ini membuatkan pelajar Malaysia agak 'tenggelam' apabila melanjutkan pelajaran di luar negara di peringkat universiti. Seolah-olah apa yang dipelajari di sekolah tidak banyak membantu mereka dalam meneruskan pembelajaran.

Kita masih memandang pendidikan sebagai hasil. Bukannya sebagai proses. Sekolah bukan lagi tempat untuk mencipta pekerjaan sebaliknya mengemis pekerjaan. Realitinya, pendidikan sekarang hanyalah untuk menjana pendapatan tetapi tidak menjana idea. Hasilnya lahirlah manusia-manusia mesin dan 'burung-burung kakak tua' yang cuma tahu menghafal dan mengulang idea lama tanpa ada pembaharuan mengikut situasi zaman yang semakin mencabar ini.

Apa yang perlu kita lakukan?

Usaha kesukarelawanan yang dilakukan oleh Teach For The Needs (TFTN) sememangnya amatlah diperlukan buat generasi ini. Anak-anak muda dan golongan mahasiswa perlu mengambil bahagian dalam hal ini agar dapat mengecilkan jurang pendidikan. Namun, dalam bidang kesukarelawanan, kita perlu akur dengan pendapat Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang mengatakan bahawa semangat kesukarelawanan di Malaysia masih kurang terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Saya kira orang Melayu harus bersederhana dalam membantu golongan-golongan tertindas di negara luar, sebaliknya lebih mengutamakan nasib bangsa mereka di negara sendiri. Tidak ada gunanya jika kita terus-terusan melaung pembebasan Palestin dan Syria jika anak-anak di negara ini masih terdampar di tepi-tepi jalan dengan pakaian yang comot serta compang camping.

Bahkan Dr Yusuf al-Qaradawi juga telah menjelaskan keutamaan membela keluarga terdekat berbanding yang jauh dalam kitab Fiqh Keutamaan yang dikarangnya. Dan sebenarnya, tanpa merujuk kitab keutamaan juga, akal kemanusiaan yang ada pada kita sepatutnya dapat menilai dengan cepat akan kesusahan orang yang perlu kita sebagai manusia yang punya kasih sayang membantu dan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan.
Pelaksanaan sistem pula haruslah lebih autonomi supaya guru-guru dapat membuat pilihan terhadap anak-anak murid mereka. Guru-guru juga perlulah menerapkan nilai kasih sayang dalam pengajaran terhadap anak murid. 

Bukan kerana gaji.

Saya teringat akan kisah Joy Lobo dalam filem 3 Idiots yang membuat hati terasa sebak bila mengenangkan nasib yang dialaminya. Joy Lobo telah membunuh dirinya sendiri kerana tidak tahan akan tekanan hidup di mana potensi dan cita-citanya dibunuh begitu sahaja oleh pensyarahnya.

Kerana itu berhentilah menjadi 'pembunuh senyap' terhadap potensi individu. Berhentilah sekejap daripada bersaing dan tolehlah ke belakang untuk melihat dan menolong nasib mereka yang keciciran. Dengarlah luahan hati anak-anak yang mempunyai nasib seperti Joy Lobo ini.

Give me some sunshine
Give me some rain
Give me another chance
I wanna grow up once again

- 26 Disember, 2013.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine**

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at hidayahnet-owner@yahoogroups.com with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim 
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Ikram Malaysia                 : http://www.ikram.org.my
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/ 
.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment