Sunnah-sunnah Menjelang Hari Raya
('Ied al-Fithri)
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Hari raya al-Fithri ('Ied al-Fithri) bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna bulan Ramadhan yang penuh barakah dan kemuliaan ini bakal meninggalkan kita. Maka, manfaatkanlah dengan sebaik mungkin hari yang masih berbaki ini.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah mengajarkan kepada kita semua agar berusaha keras menggandakan amal ibadah ketika Ramadhan berbaki 10 hari. Beliau juga mencontohkan agar mengajak sama ahli keluarga untuk menghidupkan malam-malamnya dengan amalan-amalan sunnah seperti membaca al-Qur'an, i'tikaf, solat, berdoa, dan memohon keampunan. 'Aisyah radhiyallahu 'anha menyatakan:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
"Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam apabila memasuki fasa 10 hari yang akhir (dari bulan Ramadhan), beliau mengikat pakaiannya kuat-kuat, beliau menghidupkan malamnya dengan beribadah, dan beliau membangunkan keluarganya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/153, no. 1884)
Ini antaranya adalah dalam rangka meraih malam terbaik bernama lailatul Qadr. Pesan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
"Carilah malam al-Qadr pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan." (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/148, no. 1881)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):
ولما كانت ليلة القدر تعدل عبادتها عبادة ألف شهر
"Beribadah di malam al-Qadr menyamai ibadah selama seribu bulan." (Tafsir Ibnu Katsir, 8/444)
Apabila kita memahami persoalan ini dengan baik, dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, sudah sepatutnya kita akan berusaha keras mendapatkannya. Sebaliknya bukan dengan menyibukkan diri di pusat-pusat membeli-belah dan pasar-pasaraya bagi meraih tawaran jualan murah dan memperagakan pelbagai barangan yang boleh dilakukan ketika hari-hari yang lainnya sehingga mengabaikan keutamaan yang disunnahkan pada waktu-waktu terakhir ini.
Penuhilah masjid-masjid dan malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan qiyam Ramadhan berupa ibadah, solat, membaca al-Qur'an, berdoa, dan memohon keampunan dengan segala kemampuan dan kesempatan yang ada. Tawaran yang Allah berikan ini bukan mudah untuk diperolehi dan nilainya jelas jauh lebih tinggi berbanding urusan dunia lainnya bagi yang mengimaninya.
Kata Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
"Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr (untuk beribadah) dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/468, no. 1768)
Zakat Fitrah
Ketika hampir menjelangnya 'Ied al-Fithri atau sebelum solat dilaksanakan, umat Islam yang berkemampuan wajib mengeluarkan zakat fitrah kepada orang-orang miskin. Sebagaimana disebutkan dalam hadis, zakat fitrah ini dikeluarkan secara khusus untuk orang-orang miskin yang bergama Islam sahaja, berbeza dengan zakat-zakat yang lainnya yang dibahagikan kepada lapan asnaf.
Zakat fitrah dikeluarkan dengan kadar satu sha' makanan asasi sesuatu negeri (bagi setiap satu kepala) seperti satu sha' kurma, atau satu sha' gandum, atau kismis, atau keju, atau selainnya seperti beras, jagung, barli, atau oat selagi mana ia merupakan makanan asasi bagi satu-satu masyarakat di suatu tempat tersebut.
Dalam bentuk tukaran unit masa kini, satu sha' ini merujuk kepada empat kali sukatan menggunakan raupan dua telapak tangan lelaki dewasa. Atau juga menyamai kira-kira 2.5 hingga 3.0 kilogram bagi beras, kurma, atau gandum.
Waktu yang terbaik (sunnah) bagi mengeluarkan zakat fitrah adalah pada satu atau dua hari sebelum 'Ied al-Fithri atau sebelum solat 'Ied dilaksanakan sebagaimana dijelaskan oleh hadis-hadis yang sahih serta petunjuk dari kalangan sahabat ridhwanullah 'alaihim ajma'in. Iaitu disunnahkan melewatkan sehingga ke penghujung Ramadhan atau ketika pagi hari raya sebelum solat. Ini bersesuaian dengan tujuan pengeluarannya iaitu memberi makan orang-orang miskin.
'Abdullah B. 'Umar radhiyallahu 'anhuma menjelaskan:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
"Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam mewajibkan zakat fitrah dengan jumlah satu sha' kurma atau satu sha' gandum bagi setiap hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, tua dan muda, iaitu dari kalangan umat Islam. Dan beliau juga memerintahkan supaya zakat fitrah diserahkan sebelum masyarakat keluar melaksanakan solat (solat 'Ied)." (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/370, no. 1407)
Bagi setiap umat Islam yang berkemampuan wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya, ahli keluarganya, isterinya, anak-anaknya serta orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.
'Abdullah B. 'Abbas radhiyallahu 'anhuma juga menjelaskan dengan katanya:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
"Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam mewajibkan zakat fitrah bagi menyucikan orang-orang berpuasa dari perbuatannya yang sia-sia dan perkataannya yang tidak baik, serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (solat 'Ied) maka ia dikira sebagai zakat, dan sesiapa yang mengeluarkannya setelah solat, ia dikira sebagai sedekah biasa." (Hadis Riwayat Abu Daud, 4/413, no. 1371. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Orang yang miskin adalah orang-orang yang memiliki harta tetapi hartanya tersebut gagal menampung keperluannya kerana tidak mencukupi.
Para ulama menjelaskan bahawa zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh ditukarkan dalam bentuk nilai mata wang. Majoriti fuqaha' menyatakan zakat yang dikeluarkan dengan wang atau nilai gantian lain adalah tidak sah. Manakala yang membolehkan dengan wang atau nilai yang lain adalah mazhab Abu Hanifah. (Rujuk: Syarah Shahih Muslim, 7/60)
Adapun yang menepati kebenaran sebagaimana dalam hadis-hadis Nabi serta amalan para sahabat adalah zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang atau nilai yang lain. Sekiranya zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk wang kepada para petugas tertentu (perantara), maka pastikan para petugas tersebut menukarkannya dalam bentuk makanan asasi sebelum menyerahkannya kepada sasaran (orang miskin) pada waktu penghujung Ramadhan atau pada pagi hari raya sebelum solat 'Ied didirikan.
Kerana pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam lagi penggunaan mata wang untuk perjalanan urusniaga atau ganti nilai telah berlangsung. Tetapi Nabi tidak pernah memerintahkan mengeluarkan zakat fitrah dengan wang. Begitu juga dengan amalan para sahabat beliau ridhwanullah 'alaihim ajma'in. Pastikan juga zakat yang dikeluarkan melalui wakil atau perantara tertentu disampaikan kepada sasaran (orang-orang miskin) pada waktu yang ditetapkan sebagaimana dalam hadis. Kerana bimbang mereka memeram dan menyimpannya untuk tempoh tertentu tanpa diserahkan kepada sasaran.
Sebagai contoh untuk difikirkan, di negara kita hari ini zakat fitrah biasa dibayar dalam bentuk wang melalui amil atau wakil yang dilantik oleh pemerintah atau jabatan-jabatan agama tertentu. Sekiranya wang tersebut dibayar ketika waktu pagi raya ketika hampir solat 'Ied didirikan, agak-agaknya bilakah wang tersebut akan ditukarkan ke dalam bentuk makanan dan diagihkan kepada sasaran (orang-orang miskin)?
Sedangkan kita telah maklum bahawa zakat fitrah dikeluarkan bukan untuk amil mahupun jabatan-jabatan agama tertentu. Bukan juga untuk stok simpanan dalam jangka masa tertentu. Tetapi untuk makanan orang-orang miskin ketika hari raya pada tahun tersebut.
Sedangkan kita telah maklum bahawa zakat fitrah dikeluarkan bukan untuk amil mahupun jabatan-jabatan agama tertentu. Bukan juga untuk stok simpanan dalam jangka masa tertentu. Tetapi untuk makanan orang-orang miskin ketika hari raya pada tahun tersebut.
Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 629H) menyebutkan:
قَالَ أَبُو دَاوُد قِيلَ لِأَحْمَدَ وَأَنَا أَسْمَعُ: أُعْطِي دَرَاهِمَ- يَعْنِي فِي صَدَقَةِ الْفِطْرِ - قَالَ: أَخَافُ أَنْ لَا يُجْزِئَهُ خِلَافُ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ أَبُو طَالِبٍ، قَالَ لِي أَحْمَدُ لَا يُعْطِي قِيمَتَهُ، قِيلَ لَهُ: قَوْمٌ يَقُولُونَ، عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ كَانَ يَأْخُذُ بِالْقِيمَةِ، قَالَ يَدَعُونَ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَقُولُونَ قَالَ فُلَانٌ، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى: { أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ } . وَقَالَ قَوْمٌ يَرُدُّونَ السُّنَنَ: قَالَ فُلَانٌ، قَالَ فُلَانٌ
"Abu Daud berkata, "Telah ditanyakan kepada Imam Ahmad dan aku mendengarnya, "Bolehkah aku mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk dirham (wang)?" Maka Imam Ahmad pun berkata, "Aku bimbang ianya tidak diterima kerana menyelisihi sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam."."
Abu Thalib berkata, "Ahmad pernah berkata kepadaku, "Zakat fitrah tidak boleh dikeluarkan dalam bentuk nilai barang." Kemudian ada yang mengatakan kepadanya, "Ada orang mengatakan bahawa 'Umar B. 'Abdul 'Aziz mengambil zakat fitrah dengan nilainya (jadi bagaimana)." Imam Ahmad pun menjawab:
"Mereka mendakwa telah mengambil sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam tetapi kemudian berhujjah dengan "berkata fulan...". Bukankah Ibnu 'Umar telah berkata, "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah mewajibkan (zakat fitrah dikeluarkan dengan makanan)." Dan Allah Ta'ala telah berfirman, "Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-Nya...". (Surah an-Nisaa', 4: 59)" (al-Mughni, 5/480 – Maktabah Syamilah)
Kemudian beliau (Ibnu Qudamah) menyatakan:
وَلِأَنَّ مُخْرِجَ الْقِيمَةِ قَدْ عَدَلَ عَنْ الْمَنْصُوصِ، فَلَمْ يُجْزِئْهُ، كَمَا لَوْ أَخْرَجَ الرَّدِيءَ مَكَانَ الْجَيِّدِ
"Dan orang yang mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilai sesuatu barangan, dia sebenarnya telah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya iaitu berpaling dari apa yang telah ditetapkan. Ini seperti seolah-olah mengeluarkan zakat dengan barang yang buruk sebagai ganti kepada barang yang baik (iaitu yang telah ditetapkan oleh nash)." (al-Mughni, 5/490)
Sunnah-sunnah di Hari Raya
Dalam bahasa Arab, hari raya disebut 'Ied kerana ia datang berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan. Hari 'Ied memiliki pelbagai kebaikan yang akan kembali kepada umat Islam seperti berbuka yang mana sebelumnya diperintahkan berpuasa (dilarang makan dan minum), pengeluaran zakat fitrah, dan diberikan padanya kebahagiaan, kegembiraan, dan kenikmatan. (Ahkamul 'Iedain fi sunnatil Muthahharah, m/s. 14 – Terjemahan Pustaka Imam asy-Syafi'i)
Dalam rangka meraikan kegembiraan tersebut, umat Islam diharamkan berpuasa dan disunnahkan untuk makan sebelum berangkat solat 'Ied. Disunnahkan supaya menghias diri dengan mandi di pagi hari, memakai pakaian yang baik, indah, cantik, serta syar'i selari dengan petunjuk Rasulullah dan para sahabatnya. Pakaian yang baik dan cantik tidak semestinya yang baru dan berharga mahal sehingga perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membeli-belah. Disunnahkan juga untuk mengenakan wangi-wangian (bagi lelaki) terutamanya ketika pergi melaksanakan solat 'Ied.
Ketika menjelangnya 'hari raya, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan supaya mengagungkan-Nya dan membesarkan-Nya dengan iringan rasa syukur di atas petunjuk-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, 2: 185)
Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala inilah antaranya, maka disunnahkan bagi umat Islam supaya bertakbir, bertahmid, dan bertasbih, atau disebut sebagai takbir hari raya. Umat Islam disunnahkan untuk bertakbir dengan suara yang lantang serta sebanyak-banyaknya di pagi hari raya ketika menuju ke tempat solat (musholla) sehingga ditunaikan solat 'Ied al-Fithri. Di antara bentuk-bentuk takbir yang diamalkan oleh para sahabat ridhwanullah 'alaihim ajma'ain adalah sebagaimana berikut:
Daripada Salman al-Khair radhiyallahu 'anhu:
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
"Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar." (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/316)
Atau
Daripada Ibnu Mas'oud radhiyallahu 'anhu:
أَللهُ أَكْبَر، اَللهُ أَكْبَر، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ، واَللهُ أكْبَر، اَللهُ أَكْبَر ولِلهِ الْحَمْدُ
"Allah maha Besar, Allah maha Besar, tiada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah. Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 2/168)
Atau
Daripada 'Abdullah B. 'Ababs radhiyallhu 'anhuma:
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ، اللهُ أَكْبَرُ وَ أَجَلّ، اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا
"Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah. Allah maha Besar lagi maha Agung. Allah maha Besar di atas petunjuk yang diberikan kepada kita." (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/315)
Dalam rangka mengagungkan Allah ini juga, maka umat Islam diwajibkan pula melaksanakan solat 'Ied berjama'ah bersama-sama imam. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kepada para muslimin dan muslimat yang merdeka iaitu lelaki dan wanita sama ada yang tua mahupun yang muda agar keluar ke tempat solat bagi melaksanakannya. Bagi mereka yang tertinggal, hendaklah dia melaksanakannya secara individu sebanyak dua rakaat. (Rujuk: Fathul Bari, 2/550. Majmu' al-Fatawa, 23/161)
Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyatakan:
إِذَا فَاتَهُ الْعِيدُ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَذَلِكَ النِّسَاءُ وَمَنْ كَانَ فِي الْبُيُوتِ وَالْقُرَى
"Apabila tertinggal solat 'Ied, hendaklah dia solat dua rakaat. Demikian juga dengan kaum wanita dan orang-orang yang berada di rumah serta yang tinggal jauh di pedalaman." (Shahih al-Bukhari, 4/66)
Seiring dengan perintah mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita perlulah berusaha sedaya-upaya untuk meninggalkan apa jua bentuk maksiat atau perbuatan menyambut hari raya dengan amalan-amalan yang bid'ah dan mungkar. Malah hari raya ini sendiri diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala antaranya sebagai ganti kepada bentuk-bentuk perayaan kaum jahiliyyah terdahulu.
Anas B. Malik radhiyallahu 'anhu berkata:
قَدِمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَقَالَ: إِنَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا: يَوْمَ الْفِطْرِ، وَيَوْمَ النَّحْرِ
"Ketika mula-mula Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam datang ke Madinah, penduduk Madinah ketika itu memiliki dua hari khusus untuk bergembira yang padanya mereka selalu bermain-main di masa Jahiliyah. Maka beliau kemudian bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari tersebut dengan yang lebih baik lagi darinya. Iaitu 'Ied al-fithri dan hari an-Nahr ('Ied al-adh-ha)." (Hadis Riwayat Ahmad, 19/65, no. 12006. Dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arnauth)
Amatlah mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam hari ini yang meraikan 'Ied al-Fithri ini dengan bermain mercun, menggabungkannya dengan perayaan-perayaan kaum kuffar (ala jahiliyyah), meraikannya dengan tabarruj, berpakaian mendedah aurat, ikhtilath di antara lelaki dan wanita, berpesta dan konsert, berjoget dan menari, tayangan filem penuh maksiat dan kurafat, berzanji marhaban, serta seumpamanya. Ini semua amat bertentangan dengan rangka mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala berpandukan petunjuk yang diberikan-Nya. Wallahu a'lam.
@Abu Numair Nawawi
__._,_.___
Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com
--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine**
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at hidayahnet-owner@yahoogroups.com with the title "change to daily digest".
--------------------------------------------------------------------------
Affiliates:
iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com
Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my
Ikram Malaysia : http://www.ikram.org.my
Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website : http://hidayahnet.multiply.com/
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com
--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine**
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at hidayahnet-owner@yahoogroups.com with the title "change to daily digest".
--------------------------------------------------------------------------
Affiliates:
iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc]
http://hidayahnet.ourtoolbar.com
Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my
Ikram Malaysia : http://www.ikram.org.my
Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website : http://hidayahnet.multiply.com/
.
__,_._,___
No comments:
Post a Comment